Tuesday, September 15, 2009

TAKBIR RAYA

Menurut huraian ulama' rahimahullah , takbir hari raya - Aidilfitri dan Aidiladha - hukumnya sunat dan lafaznya yang lengkap seperti berikut:

اللَّهُ أَكْبَرُ، اللَّهُ أَكْبَرُ، اللَّهُ أَكْبَرُ، لاَ إِلَهَ إَلاَّ اللهُ وَاللَّهُ أَكْبَرُ، اللَّهُ أَكْبَرُ وَللهِ الْحَمْد
ُ
اللَّهُ أَكْبَرُ كَبِيرًا، وَالْحَمْدُ لِلَّهِ كَثِيرًا، وَسُبْحَانَ اللَّهِ بُكْرَةً وَأَصِيلاً

لاَ إِلَهَ إَلاَّ اللهُ، وَلاَ نَعْبُدُ إِلاَّ إِيَّاهُ، مُخْلِصِيْنَ لَهُ الدِّيْنَ وَلَوْ كَرِهَ الْكَافِرُوْنَ

لاَ إِلَهَ إَلاَّ اللهُ وَحْدَهُ، صَدَقَ وَعْدَهُ، وَنَصَرَ عَبْدَهُ، وَأَعَزَّ جُنْدَهُ، وَهَزَمَ الْأَحْزَابَ وَحْدَهُ، لاَ إِلَهَ إَلاَّ اللهُ وَاللَّهُ أَكْبَرُ، اللَّهُ أَكْبَرُ وَللهِ الْحَمْدُ

Allah Maha Besar, Allah Maha Besar, Allah Maha Besar, tiada Tuhan melainkan Allah dan Allah jualah yang Maha Besar, Allah Maha Besar dan bagi Allah jualah segala pujian.
Allah Maha Besar dengan segala kebesaran-Nya, segala puji tertentu bagi Allah tidak terhingga banyaknya, Maha Suci Allah pada tiap-tiap pagi dan petangnya.
Tiada Tuhan melainkan Allah dan kami tidak menyembah melainkan Dia semata-mata dengan mengikhlaskan ibadat kepadanya walaupun dibenci oleh orang-orang kafir.
Tiada Tuhan melainkan Allah Maha Esa, amatlah benar dan tepat janji-Nya, ia telah memenangkan hambanya (Nabi Muhammad s.a.w. ), ia juga telah menguatkan tentera-Nya dan Dialah jua yang telah mengalahkan musuh-musuh Islam yang bergabung dan berbagai-bagai golongan, tiada Tuhan melainkan Allah dan Allah Maha Besar, Allah Maha Besar dan bagi Allah segala pujian.

Cara Mengerjakan Sembahyang Hari Raya Dengan Berjamaah

Sungguhpun sembahyang hari raya Aidilfitri (dan juga Aidiladha) sunat hukumnya, tetapi segala rukun dan syarat serta sunat-sunatnya sama seperti sembahyang fardhu yang lima - kecuali perkara-perkara yang sunat maka ada tambahannya, iaitu bertakbir tujuh kali pada rakaat yang pertama dan lima kali pada rakaat yang kedua, disertakan dengan bertasbih di antara tiap-tiap dua takbir.

Cara mengerjakan sembahyang hari raya Aidilfitri seperti berikut:
Sebaik-baik sahaja imam memulakan sembahyang dengan melafazkan Allahu Akbar (Takbiratul Ihram yang disertakan dengan niat) maka selepas itu makmum pula terlebih dahulu sunat melafazkan niat sembahyangnya:


أُصَلِّى سُنَّةَ عِيْدِ الْفِطْرِ رَكْعَتَيْنِ أَدَاءً مَأْمُوْمًا للهِ تَعَالَى
(Sahajaku sembahyang sunat hari raya Aidilfitri, dua rakaat, tunai, mengikut imam, kerana Allah Taala).

Setelah itu baharu bertakbir dengan "Takbiratul Ihram" dengan menyebut: Allahu Akbar, disertakan dengan niat dalam hati.

Setelah itu sunat membaca: "Doa Iftitah".

Kemudian sunat bertakbir (Allahu Akbar) tujuh kali disertakan dengan mengangkat tangan ke paras telinga. Biarkan imam memulakan takbir yang pertama dahulu kemudian diikut oleh makmum.

Selepas takbir yang pertama - imam dan makmum sunat membaca tasbih dengan perlahan, dengan menyebut:

سُبْحَانَ اللهِ، وَالحَمْدُ ِللهِ، وَلا إِلَهَ إِلاَّ اللهُ، وَاللهُ أَكْبَرُ

Maha suci Allah, segala pujian tertentu bagi Allah, tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Allah, dan Allah Maha Besar.

Kemudian bertakbir lagi, takbir yang kedua yang diiringi dengan tasbih yang tersebut, dan demikianlah seterusnya hingga takbir yang keenam, semuanya diiringi dengan tasbih, kecuali takbir yang ke tujuh, kerana selepas itu imam akan membaca surah al-Fatihah dan makmum diwajibkan diam mendengar bacaan imamnya.

Setelah imam membaca surah al-Fatihah maka ia akan diam sebentar untuk memberi peluang kepada makmum untuk membaca surah al-Fatihah, kemudian imam membaca surah al-Qur'an yang dipilihnya.

Makmum pula setelah membaca Surah al-Fatihah, maka mereka diwajibkan diam mendengar bacaan imamnya yang sedang membaca surah al-Qur'an yang termaklum. Kemudian meneruskan sembahyang sehingga selesai rakaat yang pertama.

Dalam rakaat kedua, maka perkara yang pertama sekali dilakukan oleh imam dan makmum ialah bertakbir lima kali yang diselangi dengan tasbih seperti yang dilakukan dalam rakaat pertama. Kemudian meneruskan sembahyang sehingga selesai rakaat kedua.

Dengan ini sempurnalah sembahyang hari raya "Aidilfitri" yang akan diiringi dengan khutbah.

0 comments:

Post a Comment