Monday, September 28, 2009

GALAKKANMENCARI REZEKI YANG HALAL

Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya: “ Sesungguhnya roh al-Qudus telah datang kepada aku memberitahu bahawa seseorang itu tidak akan mati selagi tidak sempurna rezeki Allah S.W.T. kepadanya. Maka takutlah kepada Allah S.W.T. dan berusahalah dengan baik; dan lambatnya datang sesuatu rezeki itu janganlah menjadi pendorong kepada kamu untuk melakukan usaha mencari rezeki berbentuk maksiat kerana sesungguhnya rezeki Allah S.W.T. tidak akan dapat diperolehi melainkan dengan cara ketaatan.”

Riwayat Ibn Majah dan al- Tabrani

HuraianPengajaran Hadis:
i) Islam amat menitikberatkan masalah pencarian rezeki oleh manusia di mana setiap makhluk Allah itu telah ditentukan rezekinya masing-masing sejak ia berada di dalam perut ibunya lagi. ii) Antara bahaya kemiskinan itu ia boleh membuatkan seseorang itu melakukan apa sahaja. Contohnya seorang perempuan akan sanggup menggadaikan sesuatu yang amat berharga yang ada pada dirinya kerana inginkan sedikit perbelajaan untuk keperluan harian, walaupun secara terpaksa dan sedar yang perbuatan itu adalah terkutuk, tetapi keadaan yang tertekan memaksa ia melakukannya.
iii) Mencari rezeki yang halal adalah kewajipan setiap mukmin. Oleh itu Islam amat menuntut supaya umatnya banyak bersabar dan jangan mudah berputus asa dalam mencari rezeki tetapi hendaklah berusaha bersungguh-sungguh, berdoa dan bertawakkal kepada Allah kerana rahmat Allah S.W.T adalah sangat luas dan Dia tidak akan mensia-siakan doa dan usaha hamba-Nya.iv) Sesungguhnya kemiskinan dan kesempitan hidup adalah satu ujian daripada Allah S.W.T namun begitu perlu direnungkan juga bahawa pendapatan (rezeki) yang sedikit serta mencukupi keperluan hidup di dunia itu sebenarnya adalah lebih baik daripada pendapatan (rezeki) yang banyak tetapi melalaikan. Di sinilah pentingnya keberkatan rezeki yang bakal menentukan kebahagian hidup manusia di dunia dan akhirat.

BANYAK CARA UNTUK BERSEDEKAH


Dari Abu Dzar r.a katanya:”Beberapa orang sahabat Nabi SAW pernah berkata kepada beliau,:”Kaum hartawan memperolehi pahala yang lebih banyak. Mereka solat seperti kami solat, puasa seperti kami puasa dan bersedekah dengan sisa harta mereka.” Jawab Rasulullah SAW:”Bukankah Allah telah menjadikan berbagai macam cara untuk kamu bersedekah? Setiap kalimah tasbih adalah sedekah; setiap kalimah takbir adalah sedekah; setiap kalimah tahmid adalah sedekah; setiap kalimah tahlil adalah sedekah; amar makruf dan nahi mungkar (menagajak kepada kebaikan dan melarang kepada yang mungkar) adalah sedekah; bahkan pada kemaluanmu pun terdapat pula unsur sedekah.” Mereka bertanya:”Kalau begitu, adakah kami mendapat pahala jika kami memuaskan nafsu syahwat kami?” Jawab Rasulullah SAW “ Jika kamu melakukannya dengan yang haram, tentunya kamu berdosa. Sebaliknya jika kamu melakukannya dengan yang halal, kamu mendapat pahala.”

(al-Bukhari)

Huraian
1.Sedekah adalah sesuatu yang dapat menambahkan pahala seseorang selain daripada amal ibadat atau kebajikan yang diwajibkan untuk dilakukan.
2. Sedekah yang paling mudah adalah dengan menggunakan anggota badan seperti senyum yang tidak memerlukan sebarang tenaga mahupun wang ringgit. Begitu juga dengan berzikir kepada Allah yang hanya perlu diucapkan dengan lidah atau hati. Malah setiap sesuatu yang dilakukan dengan niat kerana Allah adalah dianggap sebagai sedekah.
3. Orang yang memiliki banyak kelebihan sama ada berupa harta benda, kekayaan, ilmu dan sebagainya selayaknya menginfakkan nikmat Allah tersebut untuk membantu mereka yang memerlukan. Dengan itu hubungan antara anggota masyarakat menjadi lebih kukuh tanpa timbul perasaan dengki dan iri hati antara satu sama lain.
4. Bersedekah adalah tanda bahawa seseorang itu mensyukuri nikmat yang dikurniakan Allah. Sebaliknya orang yang bersifat kedekut adalah orang yang tamak. Sedangkan Allah SWT sahaja yang memiliki segala sesuatu dan Dia berhak merampas kembali nikmat tersebut pada bila-bila masa yang dikehendaki-Nya. Oleh itu Islam mengatakan bahawa keberkatan rezeki itu adalah bergantung kepada cara bagaimana seseorang menyalurkan rezeki yang diperolehinya sama ada kepada kebaikan atau keburukan.

Friday, September 25, 2009

HARI LAWATAN KELUARGA SEMPENA HARI RAYA AILDILFITRI 1430H/2009M


Pegawai bertugas lawatan keluarga pada 24 September 2009


Penghuni bersama-sama ahli keluarga yang hadir





SOLAT AIDILFITRI 1430H/2009M



Solat Aidilfitri 1430H/2009M telah diadakan di Asrama Fitrah ( surau sementara ) PUSPEN Kg. Selamat dengan dihadiri lebih 120 orang jemaah terdiri daripada kalangan penghuni. Solat dan khutbah Aidilfitri telah diimamkan dan dibacakan oleh Ustaz Madya bin Madon, Ketua Cawangan Agama PUSPEN Kg. Selamat. Terima kasih diucapkan kepada pengawal-pengawal keselamatan yang turut sama membantu melicinkan perjalanan solat Aidilfitri ini.


“Sesungguhnya manusia diciptakan bersifat keluh kesah lagi kikir. Apabila dia ditimpa kesusahan dia berkeluh kesah. Dan apabila dia mendapat kebaikan dia amat kikir. Kecuali orang-orang yang mengerjakan solat, yang mereka itu tetap mengerjakan solatnya, dan orang-orang yang dalam hartanya tersedia bahagian tertentu bagi orang (miskin) yang meminta dan orang yang tidak mempunyai apa-apa (yang tidak mahu meminta-minta), dan orang-orang yang mempercayai hari pembalasan, dan orang-orang yang memelihara kemaluannya, kecuali terhadap isteri-isteri mereka atau hamba-hamba mereka, maka sesunggunya mereka dalam hal ini tidak tercela. Barangsiapa mencari disebalik itu, maka mereka itulah orang yang melampaui batas. Dan orang-orang yang memelihara amanat-amanat (yang dipikulnya) dan janjinya. Dan orang-orang yang memberikan kesaksiannya. Dan orang-orang yang memelihara solatnya. Mereka itu(kekal) di syurga lagi dimuliakan.”
[surah Al-Makrij:19-35]


Sunday, September 20, 2009

PROGRAM MASIH ADA YANG SAYANG





Pada 18 September 2009 telah diadakan Program Masih Ada Yang Sayang dan Penyerahan Kuih Raya kepada penghuni PUSPEN Kg. Selamat. Program ini adalah merupakan program tahunan Ahli Lembaga Pelawat PUSPEN Kg. Selamat yang bertujuan untuk memastikan semua penghuni PUSPEN Kg Selamat dapat merasai suasana Hari Raya Aidilfitri seperti di rumah dan dapat bermaaf-maafan antara satu sama lain seterusnya mengukuhkan hubungan silaturrahim sesama insan. Program yang diadakan ini jelas menunjukkan masih ada yang sayang dan prihatin kepada semua penghuni di PUSPEN Kg. Selamat. Program ini telah disempurnakan oleh Yg. Bhg. Dato Haji Abu Bakar bin Yahya, Pengerusi Ahli Lembaga Pelwat PUSPEN Kg. Selamat.

PROGRAM MENGACAU DODOL






PUSPEN Kg. Selamat 17 September - Program Mengacau Dodol untuk penghuni PUSPEN Kg. Selamat telah diadakan sempena menyambut Hari Raya Aidilfitri 1430H/2009M. Program dimulakan pada jam 9.00 pagi melibatkan seramai 8 orang penghuni dibantu dua orang kakitangan Cawangan Agama iaitu Ustaz Madya bin Madon dan Ustaz Mohd Fuad Helmi bin Omar.


Proses mengacau dodol ini memakan masa lebih kurang 7 jam dan sebanyak 40kg dodol berjaya dihasilkan. Terima kasih kepada Puan Faizah binti Mat Isa, Komandan PUSPEN Kg. Selamat dan seluruh kakitangan PUSPEN Kg. Selamat yang telah menyokong dan membantu menjayakan program ini.

SALAM AIDILFITRI 1430H / 2009M


Tuesday, September 15, 2009

TAKBIR RAYA

Menurut huraian ulama' rahimahullah , takbir hari raya - Aidilfitri dan Aidiladha - hukumnya sunat dan lafaznya yang lengkap seperti berikut:

اللَّهُ أَكْبَرُ، اللَّهُ أَكْبَرُ، اللَّهُ أَكْبَرُ، لاَ إِلَهَ إَلاَّ اللهُ وَاللَّهُ أَكْبَرُ، اللَّهُ أَكْبَرُ وَللهِ الْحَمْد
ُ
اللَّهُ أَكْبَرُ كَبِيرًا، وَالْحَمْدُ لِلَّهِ كَثِيرًا، وَسُبْحَانَ اللَّهِ بُكْرَةً وَأَصِيلاً

لاَ إِلَهَ إَلاَّ اللهُ، وَلاَ نَعْبُدُ إِلاَّ إِيَّاهُ، مُخْلِصِيْنَ لَهُ الدِّيْنَ وَلَوْ كَرِهَ الْكَافِرُوْنَ

لاَ إِلَهَ إَلاَّ اللهُ وَحْدَهُ، صَدَقَ وَعْدَهُ، وَنَصَرَ عَبْدَهُ، وَأَعَزَّ جُنْدَهُ، وَهَزَمَ الْأَحْزَابَ وَحْدَهُ، لاَ إِلَهَ إَلاَّ اللهُ وَاللَّهُ أَكْبَرُ، اللَّهُ أَكْبَرُ وَللهِ الْحَمْدُ

Allah Maha Besar, Allah Maha Besar, Allah Maha Besar, tiada Tuhan melainkan Allah dan Allah jualah yang Maha Besar, Allah Maha Besar dan bagi Allah jualah segala pujian.
Allah Maha Besar dengan segala kebesaran-Nya, segala puji tertentu bagi Allah tidak terhingga banyaknya, Maha Suci Allah pada tiap-tiap pagi dan petangnya.
Tiada Tuhan melainkan Allah dan kami tidak menyembah melainkan Dia semata-mata dengan mengikhlaskan ibadat kepadanya walaupun dibenci oleh orang-orang kafir.
Tiada Tuhan melainkan Allah Maha Esa, amatlah benar dan tepat janji-Nya, ia telah memenangkan hambanya (Nabi Muhammad s.a.w. ), ia juga telah menguatkan tentera-Nya dan Dialah jua yang telah mengalahkan musuh-musuh Islam yang bergabung dan berbagai-bagai golongan, tiada Tuhan melainkan Allah dan Allah Maha Besar, Allah Maha Besar dan bagi Allah segala pujian.

Cara Mengerjakan Sembahyang Hari Raya Dengan Berjamaah

Sungguhpun sembahyang hari raya Aidilfitri (dan juga Aidiladha) sunat hukumnya, tetapi segala rukun dan syarat serta sunat-sunatnya sama seperti sembahyang fardhu yang lima - kecuali perkara-perkara yang sunat maka ada tambahannya, iaitu bertakbir tujuh kali pada rakaat yang pertama dan lima kali pada rakaat yang kedua, disertakan dengan bertasbih di antara tiap-tiap dua takbir.

Cara mengerjakan sembahyang hari raya Aidilfitri seperti berikut:
Sebaik-baik sahaja imam memulakan sembahyang dengan melafazkan Allahu Akbar (Takbiratul Ihram yang disertakan dengan niat) maka selepas itu makmum pula terlebih dahulu sunat melafazkan niat sembahyangnya:


أُصَلِّى سُنَّةَ عِيْدِ الْفِطْرِ رَكْعَتَيْنِ أَدَاءً مَأْمُوْمًا للهِ تَعَالَى
(Sahajaku sembahyang sunat hari raya Aidilfitri, dua rakaat, tunai, mengikut imam, kerana Allah Taala).

Setelah itu baharu bertakbir dengan "Takbiratul Ihram" dengan menyebut: Allahu Akbar, disertakan dengan niat dalam hati.

Setelah itu sunat membaca: "Doa Iftitah".

Kemudian sunat bertakbir (Allahu Akbar) tujuh kali disertakan dengan mengangkat tangan ke paras telinga. Biarkan imam memulakan takbir yang pertama dahulu kemudian diikut oleh makmum.

Selepas takbir yang pertama - imam dan makmum sunat membaca tasbih dengan perlahan, dengan menyebut:

سُبْحَانَ اللهِ، وَالحَمْدُ ِللهِ، وَلا إِلَهَ إِلاَّ اللهُ، وَاللهُ أَكْبَرُ

Maha suci Allah, segala pujian tertentu bagi Allah, tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Allah, dan Allah Maha Besar.

Kemudian bertakbir lagi, takbir yang kedua yang diiringi dengan tasbih yang tersebut, dan demikianlah seterusnya hingga takbir yang keenam, semuanya diiringi dengan tasbih, kecuali takbir yang ke tujuh, kerana selepas itu imam akan membaca surah al-Fatihah dan makmum diwajibkan diam mendengar bacaan imamnya.

Setelah imam membaca surah al-Fatihah maka ia akan diam sebentar untuk memberi peluang kepada makmum untuk membaca surah al-Fatihah, kemudian imam membaca surah al-Qur'an yang dipilihnya.

Makmum pula setelah membaca Surah al-Fatihah, maka mereka diwajibkan diam mendengar bacaan imamnya yang sedang membaca surah al-Qur'an yang termaklum. Kemudian meneruskan sembahyang sehingga selesai rakaat yang pertama.

Dalam rakaat kedua, maka perkara yang pertama sekali dilakukan oleh imam dan makmum ialah bertakbir lima kali yang diselangi dengan tasbih seperti yang dilakukan dalam rakaat pertama. Kemudian meneruskan sembahyang sehingga selesai rakaat kedua.

Dengan ini sempurnalah sembahyang hari raya "Aidilfitri" yang akan diiringi dengan khutbah.

GANJARAN PUASA RAMADHAN

Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya:”Semua amalan anak Adam digandakan kebaikannya sepuluh kali ganda serupa dengannya hingga tujuh ratus kali ganda, Allah Azza Wajalla berkata:” Melainkan puasa, kerana ia untuk-Ku dan Aku sendiri yang membalasnya, mereka meninggalkan syahwat dan makanannya kerana-Ku.” Bagi orang yang berpuasa akan mendapat dua kegembiraan; kegembiraan semasa berbuka dan kegembiraan semasa menemui Tuhannya, dan bau busuk (dari mulut orang yang berpuasa) kerana berpuasa lebih wangi di sisi Allah daripada bau Musk.”
Riwayat Bukhari & Muslim
HuraianPengajaran Hadis:
i) Puasa merupakan perkara ‘dharuriah’ dalam agama di mana sesiapa yang mengingkari wajibnya puasa maka ia menjadi kufur, manakala sesiapa yang meninggalkan puasa tanpa uzur syarie, hendaklah ia dihukum.
ii) Puasa memaksa kita meninggalkan nafsu syahwat walaupun pada perkara yang telah dihalalkan untuk melakukannya (sebelum Ramadhan). Dengan itu puasa sebenarnya dikatakan sebagai pendidik untuk kita menjadi lebih tegas, berdisiplin dan sabar dalam berhadapan dengan sebarang godaan sepanjang Ramadhan berlangsung.
iii) Bulan Ramadhan dikenali juga sebagai bulan prestasi, di mana Allah memberikan kesempatan kepada orang-orang yang beriman untuk memperbaiki darjatnya di sisi Allah S.W.T bahkan di bulan ini semua aktiviti yang harus di sisi syarak dikira sebagai suatu ibadah kepada Allah S.W.T.
iv) Puasa yang dilakukan dengan ikhlas kerana Allah semata-mata akan bernilai sepuluh kebajikan (atau lebih). Oleh itu orang yang puasa di bulan Ramadhan dan diiringi dengan puasa enam hari di bulan Syawal dinilai sama dengan puasa sepanjang tahun. Hal demikian disebutkan dalam hadis Rasulullah s.a.w.
v) Ramadhan adalah bulan ibadah untuk mendekatkan diri kepada Allah seperti yang dilakukan oleh para salafus-soleh. Dengan itu kita hendaklah benar-benar berusaha agar tidak ada waktu berlalu tanpa amal soleh sepanjang Ramadhan ini kerana bulan Ramadhan adalah bulan permohonan, munajat, hidayah dan meraih petunjuk kebenaran daripada Allah S.W.T.

KELEBIHAN BULAN RAMADHAN

Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya: “Apabila datangnya bulan Ramadhan, pintu-pintu syurga dibuka, manakala pintu-pintu neraka ditutup, syaitan dirantaikan.”

Riwayat Bukhari & Muslim

HuraianPengajaran Hadis:
i) Perkataan Ramadhan berasal dari kata dasar ‘ra-mim-dal’, yang bererti “panas” atau “panas yang menyengat”. Perkataan ini berkembang sehingga ertinya membawa maksud “menjadi panas atau sangat panas”, atau diertikan juga sebagai “hampir membakar”. Oleh itu makna Ramadhan boleh diringkaskan sebagai waktu atau keadaan di mana seseorang merasa panas, mulut terasa kering dan tenggorok terasa haus disebabkan sedang berpuasa.

ii) Manakala perkataan puasa dalam bahasa Arab disebut ‘Siyam’ atau ‘Soum’ Kedua-duanya berasal dari kata dasar ‘Sa-wa-ma’, di mana secara etmologinya bererti menahan diri daripada segala yang dilarangnya serta mengikuti apa yang diperintahkan-Nya. Hal ini dapat diwujudkan dengan adanya perasaan takut (taqwa) kepada Allah S.W.T.

iii) Pada bulan Ramadhan umat Islam diwajibkan berpuasa kerana dengan puasalah nafsu akan terdidik. Bahkan dengan rahmat Allah S.W.T di bulan ini segala syaitan dan iblis dibelenggu dan Allah juga membuka pintu syurga dan menutup pintu neraka. Maka dalam situasi demikian kita hendaklah mengambil peluang untuk menguatkan jiwa dan rohani dengan mengerjakan amal ibadah seperti sembahyang tarawikh dan membaca Al Quran sesuai dengan kemuliaan dan kebesaran bulan tersebut.

iv) Selain itu Allah S.W.T juga memberikan dorongan untuk kita berusaha memperbanyakkan ibadah dengan melipatgandakan pahala pengamalnya serta disediakan satu malam yang lebih baik iaitu ‘Lailatul Qadar’ di mana kelebihannya menandingi 1000 bulan malam-malam biasa.

AHLAN WASAHLAN WAMARHABAN BIKUM

Pantun madah puisi tersirat,
Warisan seni indah beradat,
Ikatan terpelihara sungguh erat,
Penaluri lalui segala tersurat.

Limau purut limau lelang,
Masak di tepi Pangkalan Titi,
Kami ucapkan Selamat Datang,
Kalau sudi jenguklah lagi.